Terengganu FC (TFC) membuat keputusan menggunakan khidmat pemain tengah TFC II, Marcel N'Guessan, bagi aksi Liga Super menentang Melaka malam esok.

Ketua jurulatih sementara, Mohd Nafuzi Zain, menjelaskan kelibat N'Guessan akan memperkuatkan posisi tengah TFC sementara menantikan kehadiran Luis Gustavo Camilo dari Brazil.

Ini berikutan pemain pertahanan itu masih dalam proses mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) daripada badan induk dunia, FIFA.

TFC sebelum ini dijangka meminjam pemain pertahanan, Serhii Andrieiev, daripada TFC II, sebaliknya N'Guessan menjadi pilihan untuk diturunkan di Stadium Hang Jebat.

"Kredit kepada TFC II kerana mereka juga ada perlawanan penting bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) II, malam ini," kata Nafuzi dalam satu kenyataan, petang tadi.

Kehadiran N'Guessan -- bekas pemain UiTM FC -- memberi isyarat hasrat TFC menguasai bahagian tengah dalam pertemuan dengan Melaka itu nanti.

Pemain Ivory Coast itu tiba di Melaka bersama skuad TFC, petang tadi, bersama barisan terkuat seperti Kipre Tchetche, Lee Tuck, Sanjar Shaakhmedov dan Thiery Chantha Bin.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)