Skuad Terengganu FC (TFC) berdepan kemungkinan menggunakan talian hayat dan mendapatkan khidmat pemain import pasukan 'adik', TFC II, bagi dua aksi Liga Super selepas ini.

Hal ini berikutan perpindahan pertahanan Brazil, Luis Gustavo Camilo, masih dalam proses mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) daripada badan induk, FIFA.

Menurut satu kenyataan petang tadi, langkah susulan telah dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Feeder TFC yang diadakan semalam.

Pemain Ukraine, Serhii Andrieiev, menjadi calon terbaik 'dinaikkan pangkat' buat seketika daripada TFC II walaupun keadaan TFC belum mendesak.

"Camilo masih berlatih bersama kelabnya di Brazil dan akan terus terbang ke Malaysia sebaik menerima ITC.

"Pihak pengurusan dan kejurulatihan TFC juga bersetuju untuk memanfaatkan sistem 'feeder club' bagi mendapatkan pemain tempatan atau import," jelas kenyataan tersebut.

TFC berdepan tugas berliku dengan aksi di tempat lawan menentang Melaka pada Sabtu ini sebelum berkunjung ke Ipoh bertemu Perak, Selasa depan.

Bagi pembantu jurulatih TFC, Mohamad Nik, situasi itu tidak meresahkannya selain mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk perkembangan berikutnya.

"Camilo mungkin tiba lewat sikit, kalau nak cakap bila dijangka tiba hanya pihak pengurusan yang tahu.

"Kami menang ke atas Selangor sebelum ini pun dengan kudrat pertahanan tempatan dan saya harap mereka teruskan aksi yang mantap," katanya.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)