Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, mengakui sudah ada bayangan kelibat awang import kelima bagi mengisi kuota Asia skuad Sang Penyu, musim depan.

Enggan mendedahkan identiti pemain yang difahamkan beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia itu, Irfan berkata kehadirannya akan melengkapkan senarai pemain TFC yang sudah 95 peratus selesai.

Kunjungannya ke Eropah bersama pembantu, Mohd Nafuzi Zain, yang berkelana ke Uzbekistan juga dikatakan mengintai tonggak import kelima selepas TFC menggugurkan Do Dong-hyun yang gagal menyinar.

"Saya belum dapat memberitahu dengan lebih terperinci kerana pemain itu masih memberi tumpuan dan komitmen bersama pasukannya sekarang.

"Rundingan sedang diadakan dan jika semuanya berjalan lancar, tonggak import kelima ini akan diperkenalkan pertengahan Disember nanti," ujar Irfan.

Sebelum ini TFC mengekalkan khidmat penjaring terbanyak yang juga kapten, Kipre Tchetche, pemain tengah, Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin serta pertahanan Serbia, Igor Zonjic.