Ketiadaan tonggak import, Lee Tuck, menggugat prestasi Terengganu FC (TFC) apabila tewas 2-0 kepada Selangor dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.

TFC, yang bersama-sama Kedah, Perak dan Pahang mengintai peluang mengakhiri kempen Liga Super di tangga kedua liga, hampa apabila dikecewakan Selangor.

Muhammad Syahmi Safari dan Rufino Segovia memastikan tiga mata berharga buat skuad Gergasi Merah itu untuk mereka kekal di tangga kelapan liga.

Penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik, menganggap persembahan TFC tergugat tanpa kelibat bintang utama mereka, Tuck.

"Ketiadaan Tuck dalam pasukan ternyata menggugat prestasi pasukan kami, sekali gus terlepas peluang untuk menamatkan saingan di tempat kedua," katanya.

Selangor yang mengharungi musim sukar -- aksi kurang konsisten serta gagal mendakap Piala FA apabila tewas kepada Pahang -- kini memiliki peluang untuk menamatkan musim dengan gelaran apabila melangkah ke Piala Malaysia dengan kemenangan yang diraih.

"Ini merupakan keputusan yang positif buat Selangor yang bakal menghadapi Piala Malaysia selepas ini. Kemenangan ini amat baik buat kami," kata pengendali pasukan, Nazliazmi Nasir.