Selain mencari tempat dalam kesebelasan utama, pemain sayap Terengganu FC (TFC), Mohd Shahrul Aizad, juga perlu mencari nombor jersi baru bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan datang.

Ini kerana TFC mengumumkan nombor 12 yang digunakannya tidak akan dipakai mana-mana pemain bagi menghargai sokongan pemain ke-12, iaitu penyokong mereka.

Memetik kenyataan dikeluarkan TFC, langkah berkenaan turut menandakan sokongan serta pengorbanan penyokong yang tidak pernah dipandang sepi pasukan itu.

"Jersi nombor 12 ini akan didedikasi kepada pemain ke-12 kami, iaitu penyokong Sang Penyu.

"Ayuh semua! 2019 kita hadir lebih bersemangat dan lebih jiwa. Hanya untuk Terengganu," kata kenyataan tersebut.

Amalan ini biasa dilakukan bertujuan menghormati legenda mereka, antaranya oleh kelab Itali, Brescia (Maradona), AC Milan (Paolo Maldini), Inter Milan (Javier Zanetti) dan kelab Inggeris, West Ham United (Bobby Moore).

Dalam pada itu, skuad TFC di bawah binbingan Irfan Bakti Abu Salim itu dijangka akan memulakan latihan pertama mereka Rabu ini.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)