Penyerang bola sepak kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, bebas membuat keputusan mengenai pasukan mana yang mahu disertainya bagi musim 2019.

Walaupun mempunyai kontrak dengan PKNP FC sehingga 2020, Shahrel atau Eky bebas pergi jika menerima tawaran daripada pasukan lain.

"Kami tidak akan menyekat jika dia berhasrat untuk berpindah dan begitulah sebaliknya," kata jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim.

Shahrel adalah pemain ketiga yang beraksi di Thailand selepas bekas pemain Pahang, Kiko Insa, dan bekas pemain FELDA United, Curran Ferns.

Shahrel beraksi dalam Liga Thailand 1 untuk pasukan Nakhon Ratchasima secara pinjaman selama lima bulan sejak Julai lalu, musim ini.

Abu Bakar berkata setakat ini dia tidak tahu apa perancangan pemain kesayangan PKNP itu kerana belum berkesempatan bertemu dengannya.

"Dia kini berada bersama pasukan Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe yang terbabit dalam saingan Piala AFF.

"Jadi, kami tidak mahu mengganggunya sekarang. Biarlah dia selesai tugasan dengan tenang, " tambah Abu Bakar.