TERENGGANU 1 MELAKA 0

Jaringan tunggal pemain gantian, Mohd Ashari Samsudin, sudah memadai buat Terengganu FC (TFC) meraih kemenangan tipis 1-0 mengatasi Melaka United (MU) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.


Corak pantas dipamerkan kedua-dua pasukan pada awal permainan, dengan tuan rumah terlebih dahulu berpeluang memecahkan kebuntuan pada minit ketiga, namun tandukan Igor Zonjic terkena palang.

Dua minit kemudian, pemain sayap MU, R. Gopinathan, berjaya melakukan larian deras di sebelah kiri dan melepasi kawalan Mohd Kamal Azizi sebelum rembatannya sedikit tinggi.

Aksi semakin rancak apabila MU mencemaskan kubu tuan rumah menerusi sepakan bebas Tiago Filipe Gomes (m-19) yang tepat ke dakapan penjaga gol, Wan Muhammad Azraei Wan Teh.

Hasrat TFC memecahkan kubuntuan tidak kesampaian pada minit ke-41 apabila hantaran J. Partiban dari sebelah kanan gagal disambar Kipre Tchetche dan Abdul Malik Mat Ariff dan membawa kedudukan 0-0 ke bilik persalinan.

Selepas rehat kedua-dua pasukan terus menyerang dengan percubaan Mohd Faiz Nasir (m-47) serta tandukan Yahor Zubovich dua minit selepas itu masih gagal menemui sasaran buat TFC dan MU.

Tuan rumah kemudian dihidangkan dua peluang terbaik menerusi rembatan leret Bruno Junichi Suzuki pada minit ke-53 dan Tchetche pada minit ke-57 yang menyaksikan tolakan ketua pasukan itu tinggi melepasi penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.

Pemain berpengalaman, Ashari, akhirnya mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-60 dengan jaringan menarik dari luar kotak penalti, sekali gus menceriakan hampir 3,000 penyokong Sang Penyu.

Ashari hampir menggandakan kedudukan melalui percubaan kaki kanan pada minit ke-79 malangnya tersasar dan kedudukan 1-0 berpihak kepada Terengganu kekal sehingga tamat.

Kredit foto: Melaka United Soccer Association (MUSA)

Keputusan lain:

Liga Super

Kelantan 0 Negeri Sembilan 2
Perak 4 PKNP FC 3
Selangor 1 Kedah 2
Terengganu 1 Melaka United 0