TERENGGANU FC 2 FELDA UNITED 1

Terengganu FC (TFC) menamatkan rentetan kekalahan dalam Liga Super selepas menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Awal permainan menyaksikan rentak agresif dipamerkan TFC menerusi percubaan leret Sanjar Shaakhmedov yang tepat ke arah penjaga gol pelawat, Norazlan Razali, pada minit keenam.

Norazlan terus dipaksa bekerja keras untuk menyelamatkan pintu golnya dengan menepis keluar rembatan lencong pemain sayap TFC, Abdul Malik Mat Ariff, pada minit ke-19.

Felda United cuba mengimbangi permainan, namun pemain tengah, Jocinei Schad, hanya mampu membuat sepakan liar dari luar kotak penalti (m-22).

Kem tuan rumah cemas pada minit ke-38, mujur kuisan S. Chanturu dinafikan penjaga gol, Mohd Suffian Rahman, sebelum tindakan susulan Kei Ikeda dihalang Igor Zonjic.

Chanturu hadir lagi menerusi tandukan pada minit ke-42 hasil hantaran Zahril Azri Zabri, namun sempat diselamatkan Suffian untuk membawa kedudukan 0-0 ke bilik persalinan.

Kipre Tchetche (m-49) akhirnya memecahkan kebuntuan buat TFC selepas mengatasi kawalan Thiago Junio dan Masaki Watanabe sebelum sepakannya menewaskan Norazlan.

Berpunca daripada sepakan percuma Lee Tuck, TFC hampir memperoleh gol kedua pada minit ke-52, malangnya bola tolakan Shaakhmedov sekadar melintasi tepi tiang gol Felda United.

Jaringan kedua TFC terhasil pada minit ke-90 selepas Tchetche 'dihadiahkan' bola oleh kapten Felda United, Jasazrin Jamaluddin.

Ikeda menjaringkan gol sagu hati Felda United menerusi rembatan kencang dalam masa kecederaan, namun ia sudah terlewat untuk menghalang kemenangan TFC.

KEPUTUSAN LIGA PERDANA:
PULAU PINANG 0 JOHOR DARUL TA'ZIM II 2