TERENGGANU 2 PERAK 0

Terengganu menamatkan rentak cemerlang tanpa kalah yang diharungi Perak sejak enam perlawanan lalu apabila menewaskan skuad kendalian Mehmet Durakovic itu 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dalam aksi Liga Super 2018, semalam.


Seperti yang diharapkan ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, skuad Peteh turun di laman sendiri mengharapkan tuah agar mampu mencatat keputusan positif.

Segalanya bermula dengan baik dan dalam satu ketika, Perak cuba mencari jaringan awal menerusi asakan ke kubu Terengganu.

Bagaimanapun, jaringan penyerang import yang juga ketua pasukan, Kipre Tchetche, menerusi sepakan penalti pada minit ke25 jelas memberi semangat buat tuan rumah untuk terus mendominasi permainan.

Memasuki babak kedua, Terengganu beraksi lebih yakin apabila banyak memberi tekanan ke kubu pertahanan anak-anak buah Durakovic.

Usaha itu mendatangkan hasil apabila Tchetche sekali lagi meletakkan nama dalam senarai penjaring selepas menyempurnakan peluang hasil keadaan kelam-kabut di depan gawang lawan pada minit ke-52 untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan, meletakkan Terengganu di tangga keempat liga dengan 18 mata, manakala Perak kekal di tangga kedua berbekalkan 20 mata.

"Sebelum ini, pemain-pemain bermain terlalu terbuka tanpa sebarang usaha sehingga membolehkan pasukan lawan menguasai permainan.

"Jika dilihat, mereka berusaha keras untuk mengejar tiga mata dalam perlawanan ini," kata Irfan.

"Terengganu sangat bagus. Tidak kira di barisan pertahanan, tengah serta serangan, mereka sangat baik. Jadi, anda harus menghormati mereka. Bukan mudah untuk beraksi di sini," ujar Durakovic.


Kredit foto: Facebook Football Malaysia LLP