TERENGGANU FC 2 KELANTAN 0

Terengganu FC (TFC) menghidupkan peluang memburu gelaran naib juara Liga Super selepas melonjak ke tangga keempat dengan menewaskan Kelantan 2-0 di Kuala Terengganu, malam ini.


Tempo pantas dipamerkan dengan Kelantan terlebih dahulu hadir menerusi percubaan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-10 sebelum tandukan lemah pemain tuan rumah, Mohd Shahrul Aizad, tiga minit kemudian.

Terengganu hampir dikejutkan pada minit ke-17 apabila pertahanan pelawat, Mohamad Azwan Mohd Aripin, membuat hantaran jauh yang mengelirukan penjaga gol, Muhamad Syazwan Yusoff, mujur bola terkena palang.

Aksi semakin rancak menyaksikan penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail, menjadi penyelamat Kelantan selepas menafikan percubaan Do Dong-hyun pada minit ke-31 dan Kipre Tchetche pada minit ke-36.

Nasib belum memihak tuan rumah yang menyaksikan Shahrizan terus cemerlang menepis tandukan Tchetche (m-37) dan percubaan Dong-hyun (m-39) menggegar tiang gol Kelantan.

Skuad Sang Penyu bimbingan Irfan Bakti Abu Salim akhirnya menarik nafas lega apabila membawa kelebihan satu gol ke bilik persalinan menerusi penyudah kemas Tchetche pada minit ke-44.

Serangan bertali arus selepas rehat membuahkan hasil untuk Terengganu menggandakan kedudukan 2-0 selepas Mohd Kamal Azizi menyambung hantaran leret J. Partiban dari sebelah kiri.



Tuan rumah tampak belum berpuas hati dengan dua gol, sebaliknya meneruskan serangan yang menyaksikan sepakan bebas Lee Tuck pada minit ke-65 terkena tiang.

Pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin, memberikan penalti kepada Terengganu pada minit ke-84, begitupun sepakan Tchetche melambung tinggi dan kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat.

Kemenangan yang diraih membolehkan Terengganu berkongsi 34 mata dengan Pahang sambil Perak kekal di tangga kedua dengan 36 mata untuk menjanjikan aksi sengit dalam aksi terakhir liga, minggu depan.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)