Terengganu raih tiga mata penting

Oleh Tengku Danish Bahri 25 Mei 2019 6661
Terengganu raih tiga mata penting
TERENGGANU 1 SELANGOR 0

Terengganu meraih kemenangan sulung di bawah pengendali sementara, Mohd Nafuzi Zain, selepas mengatasi Selangor 1-0 dengan gol pemisah pada saat-saat akhir di Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Awal permainan disajikan dengan percubaan leret pemain Selangor, Mohd Syazwan Zainon, serta voli jarak jauh tonggak tuan rumah, Sanjar Shaakhmedov, pada minit keenam yang bagaimanapun tidak membuahkan hasil.

Pintu gol pelawat yang dikawal Mohd Farizal Harun terus diuji pada minit ke-16 menerusi sepakan lencong Ahmad Nabil Latpi yang tepat ke arah penjaga gol itu.

Selangor hampir memecah kebuntuan pada minit ke-36, namun penyudah lemah Ifedeyo Omosuyi dari dalam kotak penalti diselamatkan penjaga gol Terengganu, Ilham Amirullah Razali.

Kem Terengganu kemudian menghadirkan tentangan melalui Lee Tuck (m-40), malangnya rembatan deras pemain kelahiran England itu sedikit tinggi melepasi sasaran.

Seminit selepas babak kedua bersambung, Kipre Tchetche mencemaskan kubu Selangor melalui sepakan yang menggegar palang gol selepas melepasi kawalan Taylor Regan.

Memasuki minit ke-56, pintu gol Terengganu pula diselamatkan palang gol berpunca daripada hantaran Syazwan  yang mengelirukan dari sebelah kanan.

Peluang terbaik tuan rumah menjelma daripada larian Nabil (m-73) yang masuk ke dalam kotak penalti hanya untuk mensia-siakan situasi satu lawan satu dengan Farizal.

Aksi semakin rancak dengan giliran The Red Giants pula menguji kubu tuan rumah, namun Ilham cemerlang menepis sepakan percuma Sandro da Silva pada minit ke-75.

Terengganu seakan-akan terpaksa akur dengan keputusan seri selepas percubaan Tchetche (m-85) sekali lagi dinafikan palang gol.

Namun, kapten Selangor, K. Sarkunan, tertolak masuk bola ke gawang sendiri dalam waktu kecederaan susulan hantaran Adib Aizuddin Abdul Latif yang menghadiahkan kemenangan buat Terengganu.

Keputusan Liga Perdana

NEGERI SEMBILAN 0 UKM FC 1

UiTM FC 1 SELANGOR UNITED 2

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen