Hasrat tiga mata gagal direalisasikan sehingga menyaksikan skuad Datuk K. Rajagobal semakin terhimpit ke zon penyingkiran selepas kekalahan 1-2 kepada Terengganu di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kedua-dua pasukan terdesak mahukan mata penuh.

Beraksi di laman sendiri dan merujuk kepada rekod terdahulu, Semut Merah merupakan pasukan pilihan untuk meraih tiga mata penuh.

Namun, jaringan pembukaan milik Terengganu membuatkan ramalan itu mula goyang apabila Sanjar Shaakhmedov melegakan pelawat menerusi jaringannya pada minit ke-35.

Barisan kendalian Nafuzi Zain itu semakin mendominasi permainan, namun tiada jaringan tambahan sehingga tamat babak pertama.

Skuad PKNS mula menampakkan watak garang dalam separuh masa kedua tetapi deretan peluang terbaik gagal disempurnakan.

Jaringan penyamaan hanya terhasil pada minit ke-83 menerusi Kittinphong Pluenjai.

Keadaan itu tidak lama apabila Terengganu kembali memimpin permainan pada minit ke-87 menerusi tandukan Nasrullah Hanif Johan hasil cetusan sepakan percuma Lee Tuck.

"Bukan senang menang dengan PKNS.

"Daripada segi rekod, sudah 4-5 tahun kami tidak menang di sini.

"Sebelum sepak mula, tiada siapa yang memberi keyakinan bahawa kami mampu menang tetapi saya percaya kerana aksi di atas padang melibatkan 11 lawan 11 pemain," kata Nafuzi.

Rajagobal pula menjelaskan skuadnya rebah angkara kesilapan sendiri.

"Pergerakan kami agak longlai dan kami gagal menampilkan aksi sebenar dalam babak pertama sebelum mempamerkan rentak sebenar dalam babak seterusnya.

"Berdasarkan peluang yang dilepaskan dalam separuh masa kedua, kami sepatutnya dengan mudah dapat membunuh perlawanan," katanya.