Persiapan Terengganu menghadapi Liga Malaysia (Liga M) 2018 semakin rancak selepas mendapatkan khidmat tonggak T-Team, Muhammad Fauzi Abdul Kadar.

Pemain sayap berusia 25 tahun itu mengesahkan telah menandatangani kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Menurut Muhammad Fauzi, semangatnya semakin berkobar-kobar dengan peluang beraksi bersama skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu selepas setahun bersama T-Team.

“Saya tidak pernah berada di bawah kendaliannya (Irfan Bakti) dan saya akan memberi komitmen terbaik untuk berada dalam kesebelasan utama Terengganu.

“Selain mahu membantu pasukan memenangi kejuaraan, fokus saya musim depan adalah untuk meningkatkan prestasi dan mendapat panggilan bersama skuad kebangsaan,” ujarnya.

Fauzi atau lebih mesra disapa Mamu menjadi pemain terbaharu disunting PBSNT selepas pemain import, Lee Andrew Tuck dari Negeri Sembilan dan pertahanan Kedah, Mohd Fitri Omar.