Tengku Amir mahu kembalikan kegemilangan bola sepak Selangor

Oleh Staff Writer 20 Oktober 2018 2183
Tengku Amir mahu kembalikan kegemilangan bola sepak Selangor
Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, masih jelas dengan visi dan harapan baginda untuk mengembalikan kecemerlangan bola sepak Selangor meskipun kini berdepan desakan segelintir ahli gabungan persatuan itu yang mahu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan bagi memilih pucuk pimpinan baru.

Bagi Tengku Amir, banyak cabaran yang perlu dihadapinya selaku presiden FAS seperti melunaskan hutang persatuan itu selain memperbaiki pengurusan dan juga mengukuhkan kembali kewangan mereka selain memastikan skuad utama berupaya memberikan saingan kuat musim depan..

Namun, Tengku Amir tidak terkesan dengan desakan segelintir ahli gabungan kerana kekal komited untuk melakukan penambahbaikan FAS.

"Sejak beberapa dekad, FAS tidak dipimpin dengan baik dan melibatkan politik dalam sukan," kata Tengku Amir.

"Saya telah berusaha untuk memberikan nafas baru dan membawa FAS ke dalam era baru," ujarnya.

Pucuk pimpinan FAS yang diterajui Tengku Amir dikejutkan dengan usaha segelintir ahli gabungan persatuan itu mengeluarkan memorandum pada 1 Oktober lalu, yang mahukan EGM diadakan.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah mendakwa pelantikan Izhar Moslem dan Dr Johan Kamal Hamidon yang juga setiausaha agung FAS sebagai naib presiden FAS, dilakukan dengan tidak mengikut statut FAS.

FAS sebelum ini sudah menjelaskan pelantikan Izhar serta Johan adalah mengikut statut persatuan itu dan Tengku Amir menegaskan, kedua-dua mereka ketika ini sudah melaksanakan tugas dengan baik selaku naib presiden.

Usaha untuk mengadakan EGM adalah tidak sah kerana FAS mendapati ia tidak mencapai kuota yang diperlukan, iaitu separuh daripada jumlah keseluruhan ahli gabungan.

Namun, kumpulan ahli gabungan yang mahu EGM diadakan kemudian mengeluarkan kenyataan yang menegaskan EGM tetap akan diadakan sebulan selepas tarikh menyerahkan memorandum pada 1 Oktober lalu.

"FAS adalah untuk komuniti dan ia adalah nadi buat pasukan Selangor. Saya hadir ke dalam persatuan ini untuk meningkatkan semula kualiti bola sepak Selangor," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen