Tchetche terus sarung jersi Terengganu

Oleh Tengku Danish Bahri   9 November 2018 8557
Tchetche terus sarung jersi Terengganu
Status penyerang berbisa, Kipre Tchetche, bersama Terengganu FC (TFC) terjawab selepas pemain kelahiran Ivory Coast itu kekal bersama TFC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Berita itu dikongsi laman Facebook rasmi TFC hari ini, sekali gus menamatkan kerisauan penyokong setia Sang Penyu mengenai masa depan ketua pasukan mereka itu.

Dalam video berdurasi 38 saat itu, Tchetche mengesahkan akan terus menyarung jersi TFC, seterusnya menafikan khabar angin dia akan berhijrah.

"Saya masih akan bersama Terengganu. Jumpa anda semua, musim depan. Jangan risau, Kipre Tchetche 100 peratus Terengganu," katanya dalam video berkenaan.

Tchetche menjadi tonggak import keempat dikekalkan selepas TFC mengumumkan lanjutan kontrak kepada Lee Tuck sehingga 2020 serta Igor Zonjic dan Thierry Chantha Bin (2019).

Antara yang turut dikekalkan ialah penjaga gol, Mohd Suffian Rahman, Wan Azraei Wan Teh, pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Mohd Kamal Azizi, Nasrullah Hanif Johan serta Adib Aizuddin.

Selain itu, Mohd Shahrul Aizad, Ashari Samsuddin dan Abdul Malik Mat Ariff juga disahkan terus menyarung jersi TFC di bawah bimbingan Irfan Bakti Abu Salim sekurang-kurangnya setahun lagi.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri  

Komen