Tchetche, Sherman tekad persembahan terbaik buat Kedah 

Oleh Bernama 3 Disember 2019 1174
Tchetche, Sherman tekad persembahan terbaik buat Kedah 
Dua penyerang import baru Kedah, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman, berazam mempamerkan persembahan terbaik untuk skuad Lang Merah dalam saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia (AFC) musim depan.

Tchetche, yang berasal dari Ivory Coast, dan pernah bermain untuk Terengganu FC sebelum ini, berkata walaupun ini kali pertama dia dan Sherman akan bermain sebagai satu pasukan, ia tidak memberi sebarang masalah untuk bekerjasama dan menjadi gandingan yang mantap.

“Saya sangat teruja sertai Kedah kerana pasukan ini selalu berada dalam kelompok tiga teratas dalam liga. Musim 2020 ini, sasaran saya adalah untuk mengalahkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan bawa pulang piala untuk pasukan Kedah,” katanya dalam sidang media di Alor Setar, hari ini.

Sementara itu, Sherman yang berasal dari Liberia berkata walaupun baru berada di Kedah dalam tempoh yang singkat, dia gembira dan dapat menyesuaikan diri dan berazam untuk mempamerkan prestasi yang baik musim depan.

Terdahulu, Tchetche, Sherman bersama pemain baru lain, iaitu Muhammad Hadin Azman (Felda United), Mohd Sharil Saari (PDRM FC), Zulkhairi Zulkepli (UiTM FC), Tam Sheang Tsung dari kelab Jepun, Sagan Tosu II, dan dua pemain Piala Presiden, Mohd Aiman Afif Md Afizul dan Mohd Loqman Hakim Marzuki, menandatangani kontrak bersama pasukan Kedah manakala Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur FA) tidak hadir kerana sedang berada dalam Sukan SEA Filipina.

Majlis Menandatangani Kontrak Pasukan Liga Super 2020 itu disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris, dan disaksikan oleh Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bersama kepimpinan KFA yang lain.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen