Tchetche selamatkan Terengganu daripada kalah

Oleh Tengku Danish Bahri 9 Julai 2019 3878
Tchetche selamatkan Terengganu daripada kalah
TERENGGANU FC 2 KEDAH 2

Tandukan padu Kipre Tchetche dalam masa kecederaan menyelamatkan Terengganu FC (TFC) daripada kekalahan untuk seri 2-2 dengan Kedah di Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Begitupun, TFC dikejutkan gol awal Kedah yang hanya memerlukan empat minit untuk mendahului menerusi Shakir Hamzah.

Kesilapan bek tengah, Renan Alves, pada minit ke-14 hampir menjerat pelawat, mujur Tchetche gagal menewaskan penjaga gol, Abdul Hadi Hamid.

Berpunca daripada hantaran Azmeer Yusof dari sebelah kiri, Kedah berpeluang melebarkan jaringan tetapi percubaan Fernando Rodriguez (m-18) tinggi melewati pintu gol.

Usaha TFC mencari gol penyamaan berhasil selepas bola rembatan kencang Sanjar Shaakhmedov dari luar kotak penalti menerjah gawang gol Kedah pada minit ke-33.

Ppada minit ke-40, pemain Uzbekistan itu melorongkan bola kepada Tchetche, yang berdepan situasi satu lawan satu, malangnya tangkas diselamatkan Abdul Hadi.

Ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, kembali meletakkan Kedah berkelebihan satu gol apabila menanduk masuk sepakan bebas Edgar Bernhardt pada minit ke-45.

TFC menggandakan serangan selepas rehat dengan rembatan Abdul Malik Mat Ariff (m-46) dan Lee Tuck (m-54) diselamatkan penjaga gol Kedah.

Kedah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Azmeer dilayangkan kad kuning kedua ekoran kekasaran ke atas Abdul Malik pada minit ke-68.

Kelebihan itu cuba diambil TFC tetapi percubaan berturut-turut Tchetche serta Abdul Malik pada minit ke-70 digagalkan kecemerlangan Abdul Hadi.

Serangan bertali-arus TFC akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran lintang Abdul Malik ditanduk kemas Tchetche untuk memberikan satu mata kepada kedua-dua pasukan.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Keputusan lain: 

MELAKA UNITED 2 PKNP FC 1 
 
PAHANG 3 PKNS FC 2 


 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen