"Saya belum buat keputusan," kata tonggak Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche, mengenai masa depannya bersama pasukan Pantai Timur itu musim depan.

Walaupun kontraknya hanya berbaki sehingga penghujung bulan depan, Tchetche masih enggan terburu-buru bagi mengesah atau menafikan untuk kekal bersama TFC.

Penyerang kelahiran Ivory Coast itu memberi bayangan akan berbincang dengan pihak pengurusan dalam masa terdekat sebelum membuat sebarang keputusan.

"Tiada perjumpaan rasmi lagi dengan persatuan, mungkin selepas ini kami akan (berjumpa) dan berbincang lebih lanjut.

"Saya menghormati kontrak bersama TFC. Jadi, sehingga kami mengadakan pertemuan, tunggu dan lihat sahaja dulu," katanya.

Untuk rekod, Tchetche menyertai TFC pada Jun 2017 dan membantu Sang Penyu naik ke Liga Super.

Musim 2018 lebih cemerlang buat Tchetche dan TFC dengan mencetak 24 gol dalam semua pertandingan selain bergelar naib juara Piala Malaysia.

Secara keseluruhan, pemain berusia 31 tahun itu menjaringkan 50 gol dalam 76 perlawanan sepanjang menyarung jersi hitam putih TFC.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)