Tonggak Felda United, Hadin Azman, mengakui penghormatan diberi lilitan kapten menjadi inspirasi terbaik buat dirinya apabila sekali lagi muncul penyelamat The Fighters untuk mengikat PKNP FC 1-1 dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Dua perlawanan yang telah dilalui Felda setakat ini menyaksikan Hadin muncul selaku penyelamat, kali ini jaringannya membolehkannya menyamakan kedudukan, sekali gus memberikan Felda satu mata walaupun terlebih dahulu ketinggalan akibat gol pembukaan daripada Thomas Abbey.

"Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan kerana berjuang sehingga aksi terakhir. Syukur saya dapat menjaringkan gol dan kami mencuri satu mata. Saya amat gembira dengan keputusan semalam," katanya.

"Bagi saya, lilitan kapten hanya satu tanggungjawab kepada pasukan. Ia bukan satu beban, sebaliknya membantu saya dalam usaha mempamerkan aksi terbaik di atas padang."

Dalam masa sama, walaupun Hadin merupakan antara enam pemain The Fighters yang terlibat dalam kes tunggakan gaji seperti yang didedahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini, dia tetap bertekad ingin mempamerkan aksi terbaik sambil yakin pembayaran itu tetap akan dilunaskan.

"Bagi saya, ketepikan dulu tentang tuntutan gaji. Saya main kerana minat dan yakin duit itu akan kami dapat, cuma ia mengambil masa," tambahnya.