Pemain import Selangor, Ifedayo Olusegun, teruja dengan penambahan slot dalam Piala AFC dengan mengharapkan Selangor mampu mengisi salah satu daripada dua slot di pentas itu.

Ia sesuatu yang amat bermakna kepada Olusegun, merujuk kepada pengalamannya beraksi dalam Piala AFC selama tiga tahun berturut turut.

Pernah mewarnai Liga Bahrain sekitar 2014 hingga 2017, penyerang itu mencipta kenangan manis dalam Piala AFC ketika menyarung jersi kelab Al-Hidd.

"Saya merindui aksi di pentas Asia.

"Saya pernah mewakili sebuah pasukan juara yang memenangi liga dan piala, kami sering layak ke Piala AFC.

"Sudah tiga tahun saya tidak beraksi di peringkat Piala AFC, saya berasakan Selangor mampu mencuri satu slot untuk musim depan," katanya Shah Alam hari ini.

Selepas tiga tahun sekadar beraksi dalam liga domestik Malaysia, tambahan satu slot dalam saingan Piala AFC pada musim 2021 umpama objektif baru yang akan disasarkannya.

"Kami berasakan Selangor akan meraih dua tempat teratas dan setidak-tidaknya memenangi satu slot, sama ada menerusi liga atau kejohanan bertaraf piala," katanya lagi.

Pemain kelahiran Nigeria itu mencetak 10 jaringan dalam 12 aksi liga selain menghasilkan empat jaringan dalam Piala Malaysia musim lalu.


Editor: Shaiful Shamsudin