Sabah masih memburu pemain import berkualiti yang boleh memenuhi kehendak pasukan itu untuk menghadapi Liga Super musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata pencarian sejak bulan lalu itu masih diteruskan kerana mereka masih belum menemui pemain seperti yang dimaksudkan walaupun ada beberapa calon datang ke Kota Kinabalu untuk mencuba nasib.

"Sekarang ada tiga pemain telah datang menjalani pemilihan, iaitu pemain dari Korea Selatan, Sweden dan Bosnia (Herzegovina).

"Beberapa pemain lagi dijangka tiba untuk mencuba nasib dan pencarian utama kami ialah perancang di bahagian tengah dan penyerang dengan sentuhan penyudah berbisa.

"Harap-harap kami dapat menyelesaikan pembentukan skuad yang lengkap dalam bulan ini," katanya.

Penyerang dari Sweden, David Rickard Johannesson, dan pemain sayap dari Korea Selatan, Choi Jeong-han, sudah mula menjalani ujian pemilihan sejak kelmarin manakala pemain tengah dari Bosnia, Muamer Svraka, mula menyertai ujian pemilihan itu malam tadi.

Pemain-pemain berkenaan dijangka akan diberikan peluang selama beberapa hari untuk membuktikan kemampuan mereka.

Bulan lalu, Sabah juga telah menguji penyerang dari Brazil, Laerci Gomes Costa, dan pemain tengah dari Argentina, Jose Augusto Sardon, tetapi gagal memikat hati panel pemilih.

Selain itu, usaha pengurus pasukan, Henry Soimpon, bersama jurulatih, Jelius Ating dan Burhan Ajui, yang ke Indonesia untuk melihat potensi pemain di sana, juga gagal menemui calon yang layak.

Dalam perkembangan lain, tiga daripada empat pemain import musim ini, iaitu Rodoljub Paunovic, Aguinaldo Mendes dan Park Tae Su masih menjalani latihan bersama pasukan.

Bagaimanapun, Ahmet Atayev, yang mengalami kecederaan serius, tidak kelihatan.
Hampir semua pemain tempatan juga masih bersama pasukan dengan kontrak mereka akan tamat bulan ini.