Pemain tengah Selangor, S. Veenod, lega apa yang diterapkan dalam sesi latihan harian berjaya dijelmakan dalam aksi kelmarin hingga membawa kepada kutipan tiga mata penuh.

Gerakan yang berpunca daripada serangan balas Selangor selain keserasian ketara membabitkan Amri Yahyah berjaya menafikan keinginan Kelantan untuk mencuri mata di Stadium Selayang.

Tegas Veenod, gerakan yang membawa kepada tandukan Amri Yahyah pada minit ke-19 merupakan hasil latihan yang telah diterapkan jurulatih The Red Giants, P. Maniam.

Jelas sekali kerisauan jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, terhadap kelibat Venood menjadi nyata, apabila hantarannya berjaya memecah dominasi The Red Warriors yang dari awal lagi bertungkus-lumus mencipta asakan terhadap pasukan tuan rumah.

"Kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan tiga gol dalam separuh masa pertama tetapi berpuas hati kerana jaringan Amri meletakkan kami di hadapan.

"Setiap pemain telah memberikan yang terbaik dan jaringan tersebut merupakan hasil latihan kami," kata Veenod.

Sementara itu, Maniam melabel Amri sebagai nadi utama Selangor yang banyak mencari ruang untuk menghasilkan jurang dengan pasukan pelawat, Kelantan.

"Amri merupakan pemain yang konsisten dan dia bermain dengan baik untuk Selangor. Saya berterima kasih kepada setiap pemain yang beraksi baik dalam perlawanan ini," katanya lagi.