Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, menuntut pemain-pemainnya memberi tentangan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu, malam esok.

Menurut Rahmad, dia menghadapi tugas getir berdepan juara bertahan itu, ditambah dengan ketiadaan tonggak pertahanannya, Abdoulaye Maiga, yang digantung perlawanan serta perancang tengah, Mamadou Samassa, akibat kecederaan.

Namun, situasi itu enggan dijadikan alasan untuk menyerah kalah, sebaliknya berharap kesebelasan utama yang diturunkan mampu memberi sepenuh komitmen dan mencipta kejutan.

“Walaupun JDT mendahului carta liga dan T-Team di kedudukan ketujuh, segala-galanya boleh berlaku andai pemain-pemain memberikan yang terbaik.

“Apa yang pasti, kami tidak akan memberi jalan mudah kepada mereka,” ujar Rahmad.

Mengakui risau dengan kehilangan dua pemain importnya itu, Rahmad turut memberitahu akan membuat sedikit rombakan untuk menampung kekosongan dalam pasukannya.

Tahap kecergasan penyerang, Yannick N’Djeng, juga sedang dipantau dan bakal direhatkan jika tidak mendapat saranan pegawai perubatan.

Kepercayaan kini akan diletakkan di bahu pemain tempatan dan ketua jurulatih yang berasal dari Indonesia itu yakin tugas itu mampu digalas dengan baik.

“Kami tidak boleh terus keciciran mata kerana berbaki enam perlawanan, pasukan bawahan masih lagi mengejar kedudukan T-Team,” tambahnya.

Turut senada dengannya ialah ketua pasukan, Mohd Hasbullah Awang, yang berikrar untuk bangkit di hadapan penyokong sendiri.

Dijangka bergandingan dengan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris di bahagian pertahanan, Hasbullah menyifatkan pasukannya tidak boleh leka menghadapi pasukan berkualiti seperti JDT.

“Kelemahan barisan pertahanan agak ketara sejak beberapa aksi sebelum ini dan saya berharap kami memanfaatkan peluang beraksi di Kuala Terengganu untuk mengutip tiga mata,” katanya.