Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, mengakui telah mencongak percaturan terbaik untuk mencatat kemenangan dalam aksi Liga Super bertemu Selangor di Kuala Terengganu, malam esok.

Masih segar dengan kejayaan mengutip empat mata daripada dua perlawanan terakhir, Rahmad tetap merendah diri sambil menyifatkan perlawanan itu sebagai satu lagi aksi yang akan menguji motivasi pemain-pemainnya.

Menurutnya, kemenangan boleh diraih sekiranya mereka mampu menyerap serangan pasukan lawan yang kini menghuni tangga keempat liga dengan 16 mata, tiga mata mengatasi T-Team di tangga ketujuh.

“Selangor sentiasa memberi masalah kepada kami, malah T-Team hanya menang sekali musim lalu daripada tiga pertemuan liga dan Piala Malaysia.

“Pemain-pemain perlu berdisiplin dalam merantai pergerakan pemain lawan dan jika kami mempamerkan corak seperti dua perlawanan lalu, tiga mata boleh menjadi milik kami,” katanya.

Bakal beraksi tanpa tonggak tengah, Mohd Fakhrurazi Musa, yang digantung satu perlawanan, Rahmad juga tidak menolak kemungkinan untuk turun dengan strategi berbeza berdepan skuad kendalian P. Maniam itu.

“Pelbagai simulasi telah dicuba dalam sesi latihan sejak beberapa hari lalu dan ketiadaan Fakhrurazi tidak memberi kesan walaupun dia pemain utama.

“Satu strategi telah dipersiapkan dan diharapkan dapat diterjemahkan pemain-pemain di atas padang,” tambah Rahmad lagi.