Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, meminta pihak pengurusan persatuan bola sepak negeri dan kelab tidak menggunakan alasan sama selepas gagal membayar gaji pemain.

Syed Saddiq menganggap pihak pengurusan kelab harus lebih peka dalam cara mengendalikan kewangan persatuan dari awal musim bagi mengelakkan masalah tunggakan gaji yang sering berlaku.

Namun, selepas persatuan menjanjikan bayaran yang tinggi kepada pemain, beliau mahu pengurusan persatuan mencari inisiatif lain untuk menyelesaikannya dalam tempoh terdekat bagi menjaga kebajikan pemain.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mendedahkan enam pasukan dan kelab tempatan, termasuk Perlis, berhutang sejumlah RM4.48 juta kepada pemain dan pegawai.

"Ia bukan bermaksud cara perniagaan tidak berfungsi tetapi yang menanggung akibat nanti adalah pemain sedangkan di peringkat awal, kontrak sudah ditandatangani dan pemain masuk dengan harapan menerima gaji tersebut tetapi ia sering tertunggak," kata Syed Saddiq.

"Setiap kali ia berlaku, alasan perancangan pasukan tidak berjaya digunakan dan akhirnya kebajikan pemain diabaikan."

Sementara itu, Syed Saddiq mengharapkan setiap pengendali pasukan, terutama di peringkat negeri, dapat memberi sokongan padu kepada ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, dalam menjayakan misi skuad B-23 negara dalam saingan Piala AFF B-23 serta kelayakan Kejohanan AFC B-23.

"Saya berharap agar barisan pengendali kelab di peringkat negeri khususnya akan memberi sokongan padu kepada Kim Swee. Kami memerlukan sokongan kerana usah lupa, ia adalah untuk pasukan negara. Fokus utama adalah memberikan bantuan sepenuhnya," tambah Syed Saddiq.