Hasrat penyokong Selangor untuk melihat Syazwan Andik Ishak menyarung jersi Merah Kuning musim ini tidak kesampaian apabila ketua jurulatih, B. Sathianathan, memaklumkan pertahanan kiri Harimau Malaya itu telah menyertai pasukan lain.

Spekulasi bertiup kencang mengenai perpindahan Syazwan ke Selangor selepas penolong pengurus The Red Giants, Nazzab Hidzan, memuat naik gambarnya bersama pertahanan kiri itu di laman sosial.

Menghangatkan lagi keadaan itu, Syazwan yang lebih mesra dipanggil Pelo, telah meleraikan ikatan bersama Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) baru-baru ini.

Bagaimanapun, Sathianathan menafikan perpindahan bek kiri itu ke Selangor dengan menegaskan beliau sudah mempunyai pemain yang mencukupi untuk musim ini.

"Setakat ini, saya tidak memperoleh sebarang maklumat mengenai perkara itu.

"Jika dia benar-benar mahu menyertai kami, dia perlu melakukannya secepat mungkin.

"Namun, setakat yang saya sedari, dia akan menyertai Johor," katanya.

Pengesahan itu bermakna Syazwan hampir pasti berhijrah ke Johor Darul Ta,'zim (JDT) selepas gergasi bola sepak tanah air itu turut dikhabarkan berminat mendapatkan khidmatnya.

Sebagai rekod, KLFA menetapkan nilai pampasan RM1.6 juta buat mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Syazwan.

"Jika saya meletakkan diri di tempatnya sekalipun, gaji bukanlah segala-galanya.

"Namun, apa yang penting adalah kemudahan yang disediakan seperti kemudahan latihan, transportasi dan perubatan.

"Jika perkara itu dapat dipenuhi, barulah anda boleh menolak permintaannya untuk berhijrah," tambahnya.