Pemain tengah Felda United, Ahmad Syamim Yahya, berharap keberkesanan pengurusan Felda United agar turut memikirkan nasib dan status pemain yang berada dalam keadaan tertanya-tanya mengenai perancangan The Fighters musim depan.

Pelbagai versi mula kedengaran, namun Syamim masih melihat keputusan sebenar hanya selayaknya diumumkan pihak pengurusan Felda United.

Bagaimanapun, tempoh masa yang diambil perlu disegerakan memandangkan masa semakin suntuk untuk setiap pemain memikirkan hala tuju mereka dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

"Kami perlu menentukan hala tuju dan dalam masa sama, Felda juga perlu mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim baru nanti.

"Kalau urusan itu dapat dipercepatkan, lebih baik," kata Syamim.

The Fighters khabarnya hanya akan bertemu pemain sebaik urusan dan kata putus dengan bekas jurulatih Felda United, B. Sathianathan, diaturkan dalam masa terdekat.

Namun, sehingga ke saat ini, masih belum ada sebarang pertemuan empat mata melibatkan Sathianathan dan pihak pengurusan sehingga membuatkan status pemain dalam keadaan tergantung.

"Buat masa ini belum ada lagi tetapi saya yakin pengurusan Felda akan buat sesuatu.

"Lagipun, selama beberapa tahun saya mewakili Felda, mereka bukannya sebuah pasukan yang gemar melaksanakan kerja pada saat akhir, semuanya dilakukan secara teratur," katanya lagi.