Tonggak baru Johor Darul Ta'zim (JDT), Syamer Kutty Abba, menyambut baik keputusan skuad Harimau Selatan untuk menghantarnya bersama dua pemain lain ke Portugal sebagai pendedahan di peringkat antarabangsa.

JDT menerusi kenyataan di laman sosial Johor Southern Tigers (JST) mengesahkan Syamer adalah salah seorang tonggak pertama pasukan itu yang akan dipinjamkan ke kelab Portugal.

Ia menerusi kerjasama di antara Harimau Selatan dengan kelab terbabit, dengan JDT berpeluang menghantar tiga pemain ke sana pada setiap tahun sebagai pemain pinjaman.

Syamer ketika diminta mengulas perkara itu memberi reaksi: "Ia belum rasmi lagi".

"Kalau sudah disahkan secara rasmi, saya bersyukur kerana adalah menjadi impian saya untuk bermain di luar (negara) di samping peluang untuk mengembangkan karier dan memperbaiki (permainan).

"Bukan mudah berpeluang ke sana."

Menurut JST, kelab Portugal itu akan didedahkan sebaik sahaja pihak pengurusan menandatangani kontrak secara rasmi.

Selain Syamer, pemain pertahanan, Hasbullah Abu Bakar, dan penyerang, Syafiq Ahmad, turut berkemungkinan dihantar JDT untuk berkelana ke Eropah.