Selepas berehat hampir dua bulan akibat kecederaan, tonggak muda Selangor, Syahmi Safari, sudah bersedia sepenuhnya untuk turun beraksi dalam perlawanan Liga Super menentang PKNP FC di tempat lawan, Rabu depan.

Syahmi mengalami kecederaan membabitkan ligamen lutut 'MCL' dalam aksi Piala FA menentang Kuala Lumpur, awal bulan lalu.

Lantaran itu, tonggak B-23 negara itu terlepas enam perlawanan, termasuk aksi terakhir membabitkan Selangor dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu lalu.

Begitupun, pemain serba boleh itu sudah kembali menyertai latihan penuh bersama skuad Selangor minggu ini untuk diturunkan bertemu PKNP.

"Saya sudah cergas 100 peratus. Oleh kerana agak lama tidak beraksi, saya berasa cukup bersemangat untuk beraksi," katanya.

Kelibat Syahmi ditagih untuk membantu Selangor mengakhiri rentetan tiga perlawanan tanpa kemenangan.

Namun, dia mengakui perlu bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama susulan beberapa pemain muda yang lain mempamerkan aksi meyakinkan.

"Semua pemain dapat menyesuaikan diri. Ini satu perkembangan yang baik untuk membantu pasukan," katanya lagi.