Digugurkan oleh Felda United atas faktor sering dibelenggu masalah kecederaan tidak melemahkan semangat bekas pemain Harimau Muda, Syahid Zaidon, yang bersyukur Negeri Sembilan masih memberi kepercayaan terhadap bakatnya.

Empat musim bersama Felda ejak 2014, Syahid sering kali beraksi dalam kesebelasan utama pada tahun lalu.

Bagaimanapun, kecederaan meniscus lutut, yang dialaminya pada pertengahan musim menjadi punca dia tidak dapat beraksi dan akhirnya, Felda terpaksa melepaskannya.

Hampir gagal menemui pasukan baru musim depan, pemain berusia 27 tahun itu lega Negeri Sembilan sedia mengambil khidmatnya.

"Sudah seminggu saya menyertai Negeri Sembilan. Alhamdulillah rezeki di sini dan saya akan memberi tumpuan dalam misi 2018," ujarnya.

Menurut Syahid, pelbagai siri kecederaan yang dialaminya sejak bersama Harimau Muda tidak melemahkan semangatnya untuk bersara lebih awal, sebaliknya dia menganggap itu hanya lumrah dalam karier bola sepak.

"Mungkin disebabkan faktor kecederaan, Felda tidak mahu mengambil risiko.

"Tidak mengapa, bukan rezeki saya di sana lagi. Ini semua lumrah sebagai pemain profesional dan saya perlu tempuh dan cuba untuk bangkit semula," katanya.