Penyerang Pahang, Mohamadou Sumareh, mengakui teruja untuk menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya selepas mendedahkan memiliki kad pengenalan atau MyKad berwarna biru sebagai bukti sudah mendapat kerakyatan negara ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, Sabtu lalu memberi lampu hijau kepada Sumareh untuk mewakili skuad negara.

Ini susulan pemain kelahiran Gambia itu sudah mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada April lalu, sekali gus melayakkannya untuk menyarung jersi kebangsaan dengan status pemain naturalisasi.

Namun, seperti ada pihak yang meragui perkara tersebut, Sumareh menunjukkan kad pengenalannya sebagai bukti dan kemahuannya untuk mewakili skuad negara.

"Ia sesuatu yang bagus apabila mereka (FAM) memberikan lampu hijau.

"Saya berasa gembira dan berbesar hati untuk beraksi bersama Malaysia.

"Kita tengoklah macam mana nanti, buat masa ini tiada apa yang boleh saya ulas.

"Terpulang kepada mereka untuk memanggil saya. Jika mereka berbuat demikian, saya bersedia dan kalau tidak, itu sahajalah," kata penggempur Tok Gajah itu.

Sehingga kini, belum ada petanda Sumareh akan dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya, khususnya bagi kempen Kejohanan Piala Suzuki AFF, November depan.

Lantaran itu, pengendali Pahang yang juga bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh, berharap jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, sedia membuka pintu kepada Sumareh untuk menjadi pemain naturalisasi pertama.

"Bagi saya, dia sepatutnya dipanggil dan itulah yang lebih bagus.

"Itu yang diharapkan kerana dia juga tidak sabar-sabar lagi untuk mewakili pasukan negara," kata Dollah.

Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menekankan keperluan dalam mengimbangi penggunaan pemain naturaliasi dan program akar umbi.

"Perlu ada keseimbangan. Saya juga akan berjumpa dengan pihak FAM untuk membincangkan hala tuju bola sepak negara, khususnya daripada segi pembangunan akar umbi," ujar Syed Saddiq sambil menegaskan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berpendapat pendekatan itu hanya untuk membantu skuad kebangsaan dan bukan menggantikan bakat tempatan.