Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk mendaftarkan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh, sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu disahkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, dengan berkata Ahli Lembaga Pengarah MFL membenarkan rayuan pasukan Pahang untuk mendaftarkan pemain kelahiran Gambia itu sebagai pemain tempatan dalam jendela perpindahan pertama musim ini.

Keputusan itu dibuat Lembaga Pengarah MFL selepas satu perbincangan teliti selain mengambil kira sumbangan pemain berusia 24 tahun itu ketika membantu skuad kebangsaan ke pentas akhir Piala Suzuki AFF, bulan lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Kevin menjelaskan keputusan itu ​​​​​​adalah adil dan telus kepada PBNP dan Sumareh selain menyifatkan ia sebagai satu langkah positif ke arah penambahbaikan mutu liga tempatan.

Berdasarkan peraturan Liga-M, setiap pasukan diwajibkan mendaftar 20 pemain, termasuk tiga penjaga gol, terlebih dahulu selewat-lewatnya Khamis lalu sebelum mendaftarkan senarai penuh 30 pemain pada 20 Februari ini.

-- BERNAMA