Mohd. Ifwat Akmal dan Amierul Hakimi Awang menjadikan perebutan slot penjaga gol utama dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 semakin sengit selepas masing-masing berjaya mempamerkan aksi memukau di peringkat separuh akhir pertama Piala FA, Ahad lalu.

Ifwat berjaya mempamerkan karektor tersendiri apabila memastikan gawang Kedah tidak bocor buat kali pertama selepas empat perlawanan.

Enggan mudah berpuas hati, Ifwat berharap dapat sekali lagi mempertahankan gawang daripada dibolosi dalam separuh akhir kedua, 13 Mei ini.

"Kemenangan ini mampu menaikkan moral kami untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

"Sebelum ini, kami cuma tidak bernasib baik untuk meraih kemenangan apabila hanya mencapai keputusan seri.

"Di Terengganu nanti, kami akan cuba mendapatkan bekalan gol di tempat lawan sambil memastikan pintu gol tidak dibolosi.

"Insya-Allah, kami mahu membuat yang terbaik untuk mara ke final Piala FA musim ini," katanya.

Sementara itu, Amierul Hakimi belum lagi memikirkan peluangnya dalam Sukan SEA -- bermula 19 hingga 30 Ogos depan -- biarpun dia semakin mendapat tempat sebagai benteng terakhir Sang Penyu.

Baginya, dia mahu memberi tumpuan bersama Terengganu, terutama dalam saingan Piala FA, dan berjanji akan mempamerkan aksi lebih cemerlang di Kuala Terengganu.

"Keputusan ini (separuh akhir pertama Piala FA) tidak menjejaskan moral kami sebagai sebuah pasukan.

"Dalam aksi di tempat sendiri nanti, Insya-Allah kami boleh bangkit dengan menuruti taktikal yang diterapkan jurulatih," kata Amierul Hakimi.

Tambahnya mengenai peluang beraksi dalam Sukan SEA nanti: "Kalau dipanggil untuk skuad Sukan SEA, ia pasti dapat menaikkan moral dan keyakinan saya."