Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, tidak bersetuju dengan usaha Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menubuhkan syarikat pengurusan bebas pengadil profesional kerana ia hanya akan meminggirkan pengadil tempatan.

Secara dasarnya, objektif yang cuba dibawa MFL masih kurang jelas pada pandangan Subkhiddin.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju sepenuhnya sekiranya usaha berkenaan sekadar meminggirkan pengadil tempatan di bawah naungan FAM.

Jika MFL cuba membuka ruang untuk mengetengahkan pengadil luar, ia dianggap bersifat berat sebelah untuk pengadil tempatan yang telah berkhidmat sekian lama dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) selama ini.

"Kalau ia baik untuk pengadil tempatan, teruskan kerana saya tiada masalah.

"Kalau pengadil luar dibayar RM1,000, maka kita juga perlu bayar RM1,000 (kepada pengadil tempatan) kalau ia benar-benar mahu diketengahkan.

"Langkah MFL hanya akan mewujudkan pengasingan.

"Pengadil tempatan akan diabaikan dan pengadil luar pula dibawa masuk, itu sesuatu yang tidak betul," katanya.

Dalam masa yang sama, pihak Jawatankuasa Pengadil menganggap pertambahan pembantu pengadil (AAR) yang akan diperkenalkan bermula aksi suku akhir Piala Malaysia sehingga ke saingan final sebagai pendekatan yang baik bagi mencetuskan aksi yang lebih berkualiti.

"Untuk pusingan suku akhir dan seterusnya, kami akan menggunakan AAR dan kami mendapati ia memberi impak yang lebih baik.

"Contohnya dalam satu perlawanan, kami mendapat maklumat bahawa AAR ini membantu pengadil (menangani) satu isu di dalam padang yang melibatkan tingkah laku yang ganas," katanya.