Kejayaan Pahang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua selepas menewaskan Felda United 3-1 malam tadi, menjadi ‘tonik’ buat pasukan itu untuk meneruskan cabaran dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Dollah Salleh, mengakui masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki anak buahnya apabila dia memperhalusi perlawanan di antara Pahang dan The Fighters yang berlangsung di Stadium Darul Makmur itu.

"Ada masanya kami bermain dengan baik dan ada masanya seperti hilang punca. Sistem permainan itu tidak kekal dan kami kelam-kabut.

"Saya lihat dalam separuh masa kedua, dengan kemasukan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Dickson Nwakaeme dan Mohamad Faisal Abdul Halim, barulah nampak perubahan seperti yang saya inginkan.

"Kami kena betulkan banyak lagi, khasnya di bahagian pertahanan, yang kurang memberi sokongan kepada bahagian tengah apabila diserang oleh Felda," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Dollah mengakui kemenangan yang membolehkan mereka dinobatkan naib juara Liga Super itu sedikit-sebanyak mengubat kedukaan skuad Tok Gajah rentetan terlepas peluang merangkul Piala FA.

"Saya puas hati walaupun terluka. Saya percaya pemain sudah beri yang terbaik dan kami boleh bawa semangat juang ini ke kempen Piala Malaysia," tambahnya.

Dalam aksi semalam, Pahang membuka tirai jaringan menerusi Lazarus Kaimbi pada minit ke-14 sebelum The Fighter membalas menerusi S. Chanturu pada minit ke-28, namun Tok Gajah bangkit dengan gol kedua menerusi Herold Goulon (m-72) sebelum Nwakaeme menjaringkan gol ketiga selang 16 minit kemudian.

Sementara itu, pengendali Felda, Nidzam Jamil, berkata pasukannya akur dengan kekalahan kepada Pahang selaku antara pasukan elit yang berjaya mengubah corak permainan dalam separuh masa kedua dengan pertukaran pemain.

"Setelah ketinggalan dua gol, kami mempunyai pilihan sama ada terus menyerang atau bertahan. Oleh kerana satu mata diperlukan, kami memilih untuk menyerang,” katanya.

Nidzam berkata kekalahan itu juga mengundang laluan berliku buat pasukannya dalam usaha mengelakkan penyingkiran ke Liga Perdana musim depan memandangkan Liga Super adalah medan terbaik untuk pendedahan kepada pemain muda mereka.

"Nasib kami dalam Liga Super tidak hanya bergantung kepada perlawanan menentang Kedah yang mana kami perlu menang tetapi juga keputusan perlawanan di antara PJ City dan PKNP FC,” katanya.

Kredit foto: Pahang FA

-- BERNAMA