Bolasepak bukan sahaja berlatarbelakangkan pemain dan jurulatih, pengadil perlawanan juga merupakan individu yang memainkan peranan besar.

Pembentukan pengadil profesional sudah acap kali disuarakan oleh pemerhati dan peminat bola sepak negara gara-gara terlalu banyak isu kontroversi yang membabitkan mutu pengadilan berlaku dalam saingan Liga Malaysia.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang usaha jitu daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap perkara ini.

Sebelum ini, bekas presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, pernah menyuarakan pendapat mahu melihat kewujudan pengadil semi pro pada tahun 2016 namun ia sekadar cadangan yang tidak menjadi kenyataan.

Kini, pelantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku presiden baharu FAM bagi penggal 2017-2021 pada 25 Mac lalu dilihat mampu menyaksikan peningkatan mutu pengadilan di Malaysia akan menjadi kenyataan.

"Saya mahu meningkatkan mutu pengadilan di Malaysia, jadi kami perlu bukan sekadar mendapatkan teknologi yang moden, khidmat nasihat daripada luar negara juga diperlukan," jelas Tunku Ismail.

Berdasarkan statistik terkini, seramai 65 pengadil berdaftar dari seluruh negara bagi aksi merangkumi Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA manakala penolong pengadil seramai 61 orang.

Isu pengadil profesional bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia pernah dicadangkan pada era-90an.

Perkara itu dikongsi bekas pengadil FIFA negara dari tahun 1992 hingga 2000, Nik Ahmad Yaakub, yang menjelaskan ramai antara mereka menolaknya atas faktor tiada jaminan sebarang pekerjaan selepas mereka bersara.

"Saya dan beberapa pengadil lain ditawarkan untuk menjadi pengadil secara profesional tetapi persoalan yang timbul adalah jaminan tugas kami serta masa depan yang samar.

"Saya merupakan seorang guru dan karier saya terjamin. Jadi, persoalan ketika itu adalah jaminan terhadap profesion ini yang menjadi persoalan utama," kata Nik Ahmad, bekas pengadil FIFA 1992-2000.

Bekas pengadil FIFA 2008-2011, Subkhiddin Mohd Salleh, berkata buat masa ini hanya beberapa negara di dunia seperti England dan Jepun yang memiliki pengadil profesional.

Walaupun begitu, di benua Asia khususnya, masih belum banyak negara mempunyai pengadil sepenuh masa, termasuk Korea Selatan dan Australia.

Jika FAM tetap berminat dengan pendirian menggunakan khidmat pengadil profesional, Subkhiddin melihat langkah beberapa negara di Asia boleh diikuti.

"Uzbekistan, UAE, Qatar dan Bahrain, pengadil mereka memiliki kerjaya sebagai guru, tentera dan sebagainya. Tetapi apabila mereka dicalonkan sebagai pengadil Piala Dunia, pihak kerajaan bekerjasama untuk memastikan mereka memberikan tumpuan penuh untuk acara tersebut," kata Subkhiddin.

Sementara itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, mencadangkan pengadil diberikan bayaran lebih tinggi untuk mengadili perlawanan
daripada mewujudkan pengadil profesional.

Katanya, itu sejajar dengan apa yang diamalkan dalam saingan Bundesliga dan lebih sesuai dipraktikkan di negara ini.

"Pembayaran yang diberikan kepada pengadil di Jerman amat tinggi, mereka sekurang-kurangnya menerima EURO5,000 dalam setiap perlawanan dan itu memberikan satu usaha buat mereka untuk mengadili perlawanan dengan lebih efisien," katanya.