"Siapa pegang dia selesaikan."

Demikian prinsip yang diambil Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) berhubung masalah tunggakan gaji pemain skuad The City Boys itu akibat isu pemilihan kongres ke-31 persatuan itu yang tertangguh sehingga kini.


KLFA mengalami masalah gaji tertunggak satu hingga dua bulan membabitkan pemain yang dianggarkan berjumlah RM2 juta.

Mereka perlu segera menyelesaikan masalah itu bagi mengelak geran tahunan mereka disekat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M).

Namun, pembayaran itu terpaksa ditangguhkan kerana kedudukan barisan kepimpinan KLFA masih samar gara-gara isu pemilihan kongres ke-31 yang turut membabitkan campur tangan Pesuruhjaya Sukan (PJS).

"Penangguhan keputusan kongres itu memberikan masalah kepada pasukan, terutama melibatkan pembayaran gaji pemain.

"Bagaimana jika semua ahli jawatankuasa bertukar?

"Jadi yang baru terpilih itu perlu mengambil alih masalah berkenaan.

"Tiada sebab untuk ahli jawatankuasa lama menyelesaikan isu itu," kata Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.

KLFA kini perlu menunggu sehingga Selasa depan bagi mengetahui status kongres berkenaan selepas mereka mengemukakan jawapan terhadap 13 aduan berkenaan proses kongres itu berlangsung, kelmarin.

"Saya mendapati masalah ini tiada kena-mengena dengan PJS.

"Apa yang menimbulkan masalah adalah pihak pengadu.

"Kami telah menjalankan kongres mengikut statut yang ditetapkan.

"Saya hanya meminta PJS dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersikap berkecuali.

"Mereka perlu mengikuti statut yang telah ditetapkan," tambahnya.