Siapa hebat? Perak atau PKNP?

Oleh Azizan Hashim 26 April 2019 1161
Siapa hebat? Perak atau PKNP?
Siapa lebih hebat? Itulah persoalan yang ligat bermain di kepala peminat bola sepak negeri Perak apabila PKNP FC turun menentang pasukan negeri itu di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam esok.

Walaupun pertemuan itu hanya satu perlawanan biasa dalam Liga Super, namun ia mempunyai kepentingan dan implikasi tersendiri.

Pertarungan itu disifatkan sebagai "pertemuan abang dan adik" kerana kedua-dua pasukan itu mempunyai bos yang sama, iaitu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Umum mengetahui dan menyedari bahawa kedua-dua pasukan itu menerima dana daripada sumber yang sama.

Yang pasti, maruah dan imej menjadi pertaruhan terutama Perak, yang akan turun dengan reputasi selaku juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2018.

Perak tidak mampu untuk tewas dalam perlawanan itu kerana ia akan memberi kesan buruk.

Ketika ini, skuad kendalian Mehmet Durakovic itu tidak berada dalam keadaan terbaik seperti ketika meraih gelaran juara Piala Malaysia, tahun lalu.

Entah apa gerangan yang menimpa anak buah Durakovic itu, yang mengalami kemarau kemenangan dengan hanya melakar satu kemenangan dan tujuh keputusan seri sepanjang musim ini.

Mungkin "tanduk" pasukan The Bos Gaurus itu sudah patah atau tumpul yang menyebabkan ketumpulan penyudah pasukan itu.

Sebaliknya, selaku tuan rumah, PKNP FC pasti akan turun dengan kelebihan bermain dengan semangat di gelanggang sendiri.

Justeru, Perak tidak boleh mengharapkan ihsan daripada anak buah Abu Bakar Fadzim itu malam esok.

Sebaliknya, Perak dijangka perlu berusaha gigih untuk meraih kemenangan ke atas pasukan yang turut memburu kemenangan itu.

Peminat pasti akan dihidangkan dengan aksi mantap dan menarik daripada kedua-dua pasukan atau mungkin akan berlaku 'rundingan' dan tolak ansur di antara kedua-dua pihak agar wujud situasi menang-menang.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen