Shukor sahkan telah tarik balik afidavit 

Oleh Staff Writer 25 Januari 2020 1997
Shukor sahkan telah tarik balik afidavit 
Bekas kapten Melaka, Shukor Adan, menarik balik afidavitnya dan tidak meneruskan hasratnya untuk  mendapatkan campur tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA).

Isu pembayaran gaji tertunggak mula mendapat tindakan drastik MUSA sebaik Shukor menghantar afidavit kepada badan induk itu untuk mendapatkan pembelaan.

Difahamkan, pembayaran sepenuhnya yang telah dilakukan MUSA dua minggu lalu, turut mendapat perhatian Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, yang menasihatkan pertahanan itu agar menarik semula afidavit yang dikemukakan.

"Saya telah menarik surat afidavit terhadap FAM dan ia telah pun dimaklumkan dan diterima MUSA. 

"Saya tiada masalah dengan MUSA, mungkin terlewat sedikit tetapi sudah selesai, masing-masing sudah menerima suratnya. 

"Tiada lagi afidavit saya ke atas pihak MUSA," katanya yang menyertai Kuala Lumpur musim ini. 

Bagaimanapun, dia tidak pasti dengan pendekatan yang akan diambil pihak Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang turut mengendalikan 13 kes pemain yang berhadapan situasi sama dengan MUSA sebelum ini.

"Mereka sudah memberitahu kepada PFAM yang memaklumkan isu pembayaran gaji dengan MUSA berjalan dengan amat baik sekali. 

"Kita harus tanya kepada PFAM mengenai kes pemain-pemain lain. 

"Saya pasti perkara yang sama juga akan dilakukan oleh PFAM," tambahnya.




Editor: Shaiful Shamsudin

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen