Penjaga gol, Mohd Sharmiza Yusoff, tidak menganggap status seniornya dapat menjamin tempat dalam kesebelasan utama Terengganu FC (TFC) musim ini.

Sebaliknya, Sharmiza tetap menyambut baik persaingan sihat dengan dua pemain, Ilham Amirullah Razali dan Rahadi Azli Rahalim, untuk menjadi benteng terakhir skuad Sang Penyu.

Menurut pemain berusia 30 tahun itu, dia mengambil serius cabaran dihadapinya selepas 'dinaikkan pangkat' daripada TFC II dalam Liga Perdana.

Sharmiza menjadi tonggak membantu TFC II di kedudukan keempat liga selain mengharungi lapan perlawanan tanpa bolos -- rekod tertinggi dalam Liga Perdana 2019.

"Ssbelum ini Ilham merupakan pemain utama T-Team dan Negeri Sembilan manakala Rahadi daripada TFC IV adalah anggota skuad B-18 negara.

"Jadi, sesiapa saja boleh dipilih jurulatih sebagai penjaga gol untuk posisi nombor satu TFC, namun saya sudah bersedia memberikan yang terbaik," jelasnya.

Untuk rekod, Sharmiza memulakan karier awal bersama Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka dan membarisi pasukan utama selepas itu.

Kecederaan teruk di bahagian lutut kemudian memaksanya berehat panjang sebelum kembali membuat penampilan bersama TFC II pada 2018.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)



Editor: Nafis Abdullah