Teka-teki mengenai kedudukan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi terjawab apabila pemain bola sepak kebangsaan itu membuat keputusan untuk menyertai juara Piala Malaysia 2018, Perak, bagi musim 2019.

Shahrel atau lebih dikenali sebagai Eky menyertai kunjungan skuad The Bos Gaurus ke Alor Setar, Kedah, semalam untuk menamatkan spekulasi berminggu-minggu mengenai pasukan yang akan diwakilinya.

Sebelum itu, Shahrel seolah-olah seperti bermain tarik tali apabila berkata sukar membuat keputusan kerana turut mahu kekal bersama majikan asalnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.

Perkembangan terbaru itu nyata melegakan pengurus pasukan The Bos Gaurus, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, ketika mengesahkan mengenai keputusan terbaru Eky itu.

"Ya, Shahrel sah menyertai Perak dalam kancah Liga Malaysia.

"Dia masih mempunyai kontrak dengan PKNP dan menyertai Perak secara pinjaman.

"Dia akan diuji dalam perlawanan pra-musim menentang Kedah dalam perlawanan amal merebut Trofi Perisai Perpaduan malam ini, " ujarnya ketika dihubungi di Alor Setar.

Adly berkata perlawanan malam ini adalah pentas terbaik buat jurulatih, Mehmet Durakovic, untuk menguji kemampuan anak buahnya, terutama muka baru, Zac Anderson, serta beberapa pemain muda.

Mengenai gelaran Perisai Perpaduan yang menjadi pertaruhan tahunan di antara Perak dan Kedah, Adly tidak mahu pemain terlalu memikirkan mengenainya hingga tertekan.

"Anggap ia sebagai perlawanan persahabatan dan aksi pemanas badan.

"Tiada tekanan terhadap sesiapapun," katanya.