Setiap pasukan Liga-M wajib ada pengarah teknikal 

Oleh Bernama 9 Julai 2019 1424
Setiap pasukan Liga-M wajib ada pengarah teknikal 
Jawatan pengarah teknikal wajib diwujudkan dalam setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M), kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau menegaskan kedegilan dan kegagalan beberapa persatuan bola sepak negeri (FA) untuk melantik pengarah teknikal amat dikesali dan badan induk itu bersedia untuk menjadikan perkara itu mandatori dalam masa terdekat.

Menurutnya, kegagalan FA untuk menyediakan jawatan itu bukan sahaja membantutkan usaha melahirkan pemain berkualiti, malah ia turut menjejaskan ekosistem bola sepak di peringkat akar umbi.

"Kami perlu menekankan perkara ini (pembangunan akar umbi) untuk memastikan ahli gabungan daripada persatuan bola sepak negeri lebih serius dan ia bermula dengan mereka perlu melantik pengarah teknikal.

"FAM akan menetapkan jawatan pengarah teknikal sebagai mandatori dalam pelesenan kelab dan saya begitu serius mengenai perkara ini," katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran DNA Bola Sepak Malaysia, hari ini.

Hamidin berkata jawatan pengarah teknikal dan pembangunan akar umbi saling melengkapi dan ia amat diperlukan dalam menempuhi cabaran landskap bola sepak moden.

"Kalau nak bangunkan bola sepak Malaysia, mereka (FA) kena sedar pembangunan akar umbi dan posisi pengarah teknikal perlu diwujudkan. Tanpa dua elemen ini dalam bola sepak moden, bola sepak negara tidak akan ke mana-mana,” katanya.

Dalam majlis yang julung kali diadakan itu, FAM melancarkan DNA bola sepak negara sebagai rujukan bagi semua pihak memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak sendiri.

Sambil menekankan formasi 4-3-3 sebagai asas permainan Malaysia, ia adalah manifestasi falsafah bola sepak yang turut merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi peringkat umur yang bermula dari akar umbi sehingga elit.

Jelas Hamidin, falsafah berkenaan akan diselaraskan dengan semua FA dan kelab, termasuk Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang, untuk diikuti oleh semua pihak, bermula daripada akar umbi.

"FAM kena keluarkan duit lagi untuk program macam ini dan saya begitu serius, jadi FA atau mungkin kelab perlu ikut. Kami akan terus mendidik ahli gabungan dan perkara penting adalah mengadakan (jawatan) pengarah teknikal," katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen