Serhii belum pasti kekal bersama Terengganu

Oleh Staff Writer 20 Julai 2019 5624
Serhii belum pasti kekal bersama Terengganu
Pemain import Terengganu, Serhii Andrieiev, masih tidak pasti sama ada dia akan meneruskan khidmat bersama pasukan utama untuk kempen Piala Malaysia atau kembali semula turun ke pangkuan Terengganu II.

Serhii mendapatkan kebenaran daripada badan pentadbir, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), untuk memperkuatkan skuad Terengganu dalam aksi terakhir Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) memandangkan skuad Penyu tiada import dapat digunakan di benteng pertahanan.

Penghijrahan itu dibenarkan memandangkan Terengganu II yang beraksi dalam Liga Perdana merupakan pasukan sokongan kepada Terengganu dan pasukan seperti JDT juga telah lama mengguna pakai peraturan ini.

Bagaimanapun, tamat saingan Liga Super semalam, Serhii masih menanti arahan daripada pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk baki saingan musim ini.

"Buat masa ini, saya akan berkhidmat bersama Terengganu. Selepas ini, saya akan menunggu keputusan pengurusan dan jurulatih untuk kekal bersama pasukan atau kembali ke Terengganu II," katanya.

Jika dia kekal bersama Terengganu, Serhii akan diperlukan untuk menghadapi saingan Piala Malaysia, manakala jika dia kembali ke pangkuan Terengganu II, Serhii akan mengharungi saingan dalam Piala Cabaran.

"Saya akan membuat penampilan dalam Piala Malaysia atau Piala Cabaran buat pertama kali. Ini merupakan satu pengalaman yang saya masih belum rasai."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen