MELAKA 1 PAHANG 1

Sepakan penalti minit terakhir daripada pemain tengah, Safiq Rahim, membolehkan Melaka meraih satu mata setelah mengikat Pahang 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.


Pertahanan kelahiran Perancis, Herold Goulon, terlebih dahulu meletakkan skuad Tok Gajah mendahului menerusi gol dalam babak pertama tetapi jaringan Safiq cukup untuk membolehkan Melaka berada dalam kelompok empat teratas, berkongsi tujuh mata dengan pendahulu, JDT, Pahang serta Kedah.

Beraksi di laman sendiri, Melaka di bawah bimbingan Zainal Abidin Hassan dikejutkan dengan jaringan pembukaan pelawat ketika aksi berusia lima minit setelah penjaga gol gol skuad Hang Tuah, Khairul Fahmi Che Mat, gagal menangkap kemas sepakan percuma Nor Azam Azih, sekali gus membolehkan Goulon mudah menolak bola masuk ke gawang.

Dua minit kemudian, penyerang dari Brazil, Ze Love, hampir melebarkan kedudukan buat Pahang tetapi bola rembatannya ditangkap kemas Khairul Fahmi sebelum dua sepakan percuma daripada kedua-dua pasukan menerusi Casagrande dan Goulon gagal menewaskan penjaga gol.

Biarpun memberi asakan bertali arus sehingga memaksa bintang Pahang, Dickson Nwakaeme, turun membantu barisan pertahanan, Melaka gagal mengutip sebarang jaringan tatkala pertahanan pelawat yang diketuai Goulon ampuh menyerap setiap serangan.

Penyokong Hang Tuah bersorak apabila Nor Azam diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan selepas mengutip kad kuning kedua susulan terjahan keras ke atas Darko Marković pada minit ke-80.

Tatkala tiga mata hampir pasti dibawa pulang, kesilapan penjaga gol pelawat, Helmi Eliza Elias, menjatuhkan Casagrande di dalam kotak penalti membawa padah apabila pengadil tidak teragak-agak memberi isyarat penalti walaupun keputusan itu mencetuskan suasana tegang di Stadium Hang Jebat.

Bekas tonggak Selangor dan JDT, Safiq, tidak berdepan masalah untuk memperdayakan Helmi, sekali gus membolehkan Melaka mengikat Pahang 1-1 dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan.

Keputusan lain:
Liga Super:

KEDAH 4 FELDA UNITED 0
PKNP FC 2 PETALING JAYA CITY FC 3

Liga Perdana:

SELANGOR UNITED 3 SARAWAK 2
SABAH 3 TERENGGANU FC II 1
PULAU PINANG 1 PDRM FA 0