Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, lega dengan kembalinya sentuhan jaringan Kipre Tchetche dalam kemenangan 2-1 ke atas Felda United di Kuala Terengganu, malam tadi.

Kelibat penyerang Ivory Coast itu disifatkan satu motivasi baru buat Terengganu selepas ketandusan jaringan dalam saingan Liga Super.

Pengendali berpengalaman itu, begitupun, enggan terburu-buru memuktamadkan masa depan Tchetche dengan jendela perpindahan kedua akan dibuka 2 Mei ini.

"Gol pertama terhasil dengan gerakan badan yang baik, itu yang tiada dalam permainan Tchetche dalam lapan perlawanan sebelum ini.

"Saya masih menilai prestasinya, namun sekurang-kurangnya persembahan dia lain dari yang lain," jelas bekas jurulatih Felda United itu.

Tchetche, 31, mencetak gol pertama pada minit ke-49 selepas melepasi kawalan Thiago Junio dan Masaki Watanabe sebelum bijak mencari ruang menewaskan Norazlan Razali.

Gol keduanya menyusul pada minit ke-90 hasil kesilapan Jasazrin Jamaludin manakala Felda United hanya menjaringkan gol sagu hati dalam masa kecederaan menerusi Kei Ikeda.

"Rentak TFC agak longgar dalam babak pertama sehingga membenarkan jentera tengah lawan bergerak bebas.

"Kami membaikinya selepas rehat dan (Lee) Tuck serta Sanjar (Shaakhmedov) sepatutnya boleh menjaringkan gol lagi," tambahnya.