Selepas PDRM FA menyuarakan hasrat agar Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kekal menerajui penganjur Liga Malaysia (Liga-M), kini giliran PKNS FC menyuarakan sokongan.

Menerusi kenyataan yang dibuat oleh Setiusaha Agung PKNS, Md Adi Harmizi Ariffin, kelab itu berpendirian MFL masih memerlukan pengerusi yang memiliki pengaruh seperti Tunku Ismail.

Semuanya demi kelangsungan bola sepak negara selain pembaharuan yang dibawa pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu membuatkan rakan kongsi MFL berasakan masih memerlukannya.

"Tunku Ismail telah banyak membawa pembaharuan dalam MFL, terutama penyaluran hak penyiaran kepada setiap pasukan. Tidak pernah kita terlintas bahawa pasukan akan menerima sebanyak itu.

"Walaupun ada kelemahan, saya yakin MFL dapat membuat penambahbaikan," katanya.

Tambahnya, dia yakin majoriti rakan kongsi yang lain turut memiliki pendapat yang sama atas dasar kelangsungan bola sepak ke peringkat yang lebih baik.

"Selaku pengerusi MFL, baginda mungkin boleh menjadi buah mulut pelbagai pihak tetapi setakat ini, saya berasakan baginda cuba berlaku seadil mungkin dan tidak berat sebelah kepada JDT sahaja," katanya lagi.