Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, mengakui penting buat pasukannya kembali bangkit dalam saingan Liga Super apabila menerima kunjungan Selangor, esok.

PKNS sebelum ini merakamkan dua kekalahan berturut-turut dalam aksi Liga Super kepada Negeri Sembilan dan Selangor.

Rajagobal sedar hanya kemenangan mampu melonjakkan kembali keyakinan pemain.

Justeru, jurulatih itu menyifatkan aksi berdepan Selangor di Shah Alam itu sebagai pentas sesuai untuk kebangkitan skuad Semut Merah.

"Saya masih yakin terhadap (kemampuan) pemain-pemain bersandarkan kesungguhan mereka.

"Kami tidak bermain terlalu buruk ketika bertemu Selangor tempoh hari selepas tewas kepada Negeri Sembilan.

"Saya melihat melihat tanda-tanda kebangkitan, tetapi kami perlu memanfaatkan peluang terhidang," kata Rajagobal.

Dalam masa sama, tonggak tengah import baru PKNS, Bruno Matos, turut mahu pasukannya bangkit.

Bekas tonggak Red Star Belgrade itu melakukan penampilan sulung buat pasukannya ketika tewas kepada Selangor sebelum ini.

"Saya sangat gembira kerana ini kali pertama dapat bermain cemerlang dalam penampilan sulung bersama pasukan baru, namun malangnya kami tewas.

"Selepas ini, kami akan menghadapi perlawanan yang lebih sukar berdepan lawan yang lebih ampuh," kata tonggak dari Brazil itu.