Pasukan Selangor akan turun tanpa penampilan pemain tengah, Muhammad Syahmi Safari, yang mengalami kecederaan pergelangan kaki bagi menghadapi Kelantan dalam Liga Super di Kota Bharu, malam ini.

Selangor bukan sahaja gagal untuk mendakap Piala FA selepas tumpas 0-2 kepada Pahang dalam final, Sabtu lalu, malah lebih malang Syahmi kembali dihantui kecederaan lama di pergelangan kaki kirinya dalam perlawanan itu.

Ekoran itu, pengendali Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir, tidak membawa pemain itu ke Kota Bharu untuk menentang Kelantan.

"Kalau lihat ketika saya mula memegang pasukan, saya menggunakan hampir kesemua pemain. Ketika ada pemain yang bergelut dengan kecederaan, saya melihat ada yang positif dalam pasukan.

"Saya berharap pemain yang mendapat peluang menggantikan tempat mereka (cedera) ini dapat bermain dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, kem Selangor masih lagi dalam fasa untuk cuba melupakan kegagalan di pentas final Piala FA.

Biarpun mereka bakal berdepan pasukan tercorot liga, Kelantan, di laman lawan, skuad The Red Giants itu tetap berwaspada agar mereka tidak keciciran mata.

Selangor kini di tangga kelapan liga dengan mengutip 20 mata.

"Kekalahan (final) itu kami sudah lupakan untuk fokus dalam baki saingan liga ini. Jadi, perlawanan menentang Kelantan ini penting kerana kedudukan kami dalam liga tidak berapa baik.

"Kami harus mendapatkan tiga mata untuk kami menjarakkan diri daripada kelompok bawah," kata pemain pertahanan Selangor, Razman Roslan.