Selangor teruskan kunjungan ke China

Oleh Staff Writer 23 Januari 2020 962
Selangor teruskan kunjungan ke China
Selangor tetap dengan perancangan melakukan kunjungan pramusim ke China untuk menyertai Kejohanan Jemputan Piala Meizhou Hakka di sebalik kebimbangan wabak Coronavirus.

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai wabak Coronavirus yang mula melanda China sehingga  menimbulkan persoalan mengenai penyertaan skuad Gergasi Merah itu dalam kejohanan jemputan berkenaan.

Bagaimanapun, pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin, yakin langkah pencegahan dan berjaga-jaga tetap diutamakan kem Merah Kuning sepanjang tempoh di China nanti.

"Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah menyediakan seorang doktor khas untuk memantau keadaan serta bertindak selaku penasihat. Dalam penerangan semalam, kami telah dimaklumkan apa yang perlu dilakukan, jadi diharapkan semua pemain berjaga-jaga," katanya.

Selangor bakal beraksi dalam kejohanan yang dijadualkan dari 24 hingga 29 Januari ini tetapi terdapat beberapa nama yang tidak turut serta dalam kunjungan ke China itu susulan masih berada dalam tempoh pemulihan akibat kecederaan.

"Rufino Segovia dan Norhakim Isa akan kekal di Selangor dan mereka akan dipantau sambil pemain lain yang ke China akan dinilai tahap kecergasan masing-masing."



Editor: Nafis Abdullah
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen