Segar dengan kemenangan 4-2 ke atas T-Team dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu, Selangor turun dengan keyakinan tinggi ketika berdepan Terengganu dalam saingan Piala Malaysia, malam tadi.

Bagaimanapun, mereka terpaksa berpuas hati berkongsi mata apabila seri 1-1 di Selayang.

Kedua-dua pasukan saling mengasak untuk meraih jaringan pendahuluan, namun tuan rumah lebih garang menerusi beberapa percubaan tepat ke arah gol.

Pada minit ke-28, asakan Red Giants membuahkan hasil apabila Raimi Mohd Nor dikasari Firdaus Faudzi untuk dihadiahkan sepakan penalti, namun peluang itu gagal disudahkan oleh Francis Forkey Doe.

Kehampaan itu ditebus Rufino Segovia pada minit ke-42 apabila menewaskan penjaga gol pelawat, Suffian Abdul Rahman.

Sang Penyu bagaimanapun memperkemaskan permainan pada baki 45 minit permainan dan Issey Farran Nakajima yang dikasari Ugo Ukah memanfaatkan sepakan penalti untuk mengikat kedudukan pada minit ke-63.

Menuju minit akhir permainan, Terengganu hampir menambah jaringan, namun tandukan Nasrullah Haniff Johan terkena tiang gol.

"Kami menjaringkan satu gol dan ia belum mencukupi.

"Secara keseluruhan, saya gembira dengan corak permainan Selangor," kata jurulatih Selangor, P. Maniam.

Rakan sejawatannya di Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menerima keputusan perlawanan dengan hati terbuka dengan berkata, "Ia keputusan yang adil, Alhamdulillah kami berjaya meraih satu mata."